Assalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh.
Alhamdulillah, bersyukur kepada Ilahi kerana mentakdirkan kita sebagai hamba yang berkhidmat pada jalan-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda Nabi Muhammad SAW, pembuka segala yang tertutup dan penutup segala yang terdahulu.
Pendidikan sebenar merupakan arkitek kepada jiwa. Hal ini kerana tujuan penciptaan manusia ialah menghidupkan jiwa kepada mengesakan Allah SBWT dalam segenap aspek kehidupan. Kepentingan ini terbukti apabila Allah menyebutkan kalimah jiwa (al-nafs) sebanyak 303 kali dalam al-Quran. Maka, pendekatan SMITI At-Taqwa dalam menghidupkan jiwa para pelajarnya ialah melalui kefahaman dan penghayatan al-Quran dan Sunnah.
Melalui gagasan 'Perkasa Sunnah, Cemerlang Sahsiah' pada tahun 2024, SMITI At-Taqwa yakin dengan mewujudkan suasana sunnah kondusif, membudayakan mentaliti huffaz rabbani sejahtera, pendidikan holistik, memperbanyak insentif serta usaha pengantarabangsaan dan memperkaya nilai dai'e akan memangkin perubahan keperibadian dan perwatakan muttaqin. Pentaksiran Peperiksaan Holistik (LABS) pula memperuntukkan markah lisan (20%), markah amali (20%), markah bertulis (40%) dan sahsiah (20%) dengan jumlah markah 100% bagi semua subjek dalam setiap peperiksaan. Penerapan elemen thaqafi, ruuhi dan da'awi haraki juga akan menyemai keimanan pelajar berteraskan Quran dan hadis.
Pentaksiran sahsiah (TAQWA) yang mula diperkenalkan pada tahun 2024 merupakan sistem holistik menyeluruh mencakupi kepintaran jiwa (SQ), kepintaran adaptasi (AQ), kepintaran emosi (EQ), kepintaran intelek (IQ) dan kepintaran visi (VQ). Pentaksiran ini diyakini melahirkan individu seimbang selain memahami kepentingan pembangunan jiwa. Selain itu, kami tidak meminggirkan aspek Kokurikulum melalui Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan Dan Kokurikulum (PAJSK). Nilai dai'e diterapkan melalui program Bakat Dai'e, Guru Muda, Pertandingan Debat Piala Pengetua, Usrah dan Kuliah Tiga Minit (KulTiM).
Saya mengucapkan tahniah kepada warga sekolah dan ibu bapa kerana memberi sokongan penuh dan berjaya memanfaatkan pelbagai sumber bagi merealisasikan hasrat pihak sekolah melahirkan para dai'e berakhlak dan berbudi. Mudah-mudahan sumbangan ikhlas kita bakal memacu pendidikan di SMITI At Taqwa.
Sama-samalah kita berdoa agar mudah mudahan usaha ini diberkati Allah S.W.T dan menjadi amal soleh yang akan kita kecapi pada kemudian hari. In shaa Allah.
MUHAMAD IRFAN BIN AHMAD FIRDAUS
Pengetua
SMITI ATTAQWA